
Masjid Malaysia di Afghanistan simbol hubungan erat kedua-dua negara
KABUL: Sebuah masjid bernilai RM1.3 juta yang dirancang dibina di sini hasil sumbangan rakyat Malaysia bakal menjadi simbol dan mercu tanda hubungan erat di antara rakyat kedua-dua negara.
Pembinaan masjid itu diharap menjadi pemangkin termetrainya hubungan diplomatik antara kerajaan Malaysia dan Afghanistan.
Masjid setinggi empat tingkat itu bakal dibina hasil kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia dengan sebuah universiti wakaf di Kabul iaitu Universiti Salam.
NGO terbabit adalah Muslim Care Malaysia (MCM), Yayasan Amal Malaysia (YAM), Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma), Geng Talaqqi, One Nation dan Yayasan Israq’.
Presiden MCM, Zulkifli Wahijan berkata, pembinaan masjid itu adalah projek paling utama dilakukan pihaknya sepanjang misi bantuan kemanusiaan ke Afghanistan sejak 12 November lalu.
“Kami melaksanakan beberapa program sepanjang berada di sini. Antaranya, sumbangan makanan dan baju sejuk kepada golongan memerlukan, pembinaan telaga tiub serta tajaan kewangan kepada anak yatim.